Selasa, 13 Februari 2024

Ketua Polis Johor turut terima ancaman bom


 Johor Bahru: Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar, mengesahkan beliau turut menerima ugutan ancaman bom menerusi emel rasminya hari ini daripada individu yang menggelar dirinya sebagai Takahiro Karasawa.

Beliau berkata, kiriman emel dari alamat sama juga diterima beberapa pihak yang turut membuat laporan polis.

Menurutnya, sehingga kini polis Johor menerima dua laporan polis berkaitan pengaduan penerimaan emel ancaman berkenaan.

Katanya, hasil siasatan dijalankan, pihaknya tidak mengenalpasti kewujudan sebarang unsur ancaman seumpama itu.

Disyorkan

"Dia hantar emel dan semakan mendapati ia daripada alamat sama seperti yang pernah dihantar ke beberapa pihak Disember tahun lalu.

"Kita percaya orang yang sama dan hasil siasatan mendapati ia adalah akaun palsu.

"Setakat ini Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) membuat laporan polis serta laporan daripada polis berikutan emel dihantar kepada saya," katanya.

Kumar berkata, pihaknya masih kabur dengan motif pengirim emel berkenaan namun siasatan terus dijalankan bagi mengenalpasti identiti pelaku.

"Kadang-kala kita susah nak cakap apa yang difikir pengirim... hanya dia yang tahu apa difikirkannya.

"Pada saya mungkin dia mahu mewujudkan suatu situasi ketegangan tapi saya ingin memberi amaran tegas di sini, apa yang dilakukan oleh orang ini adalah salah di sisi undang-undang dan pihak polis akan ambil tindakan.

"Kita dalam usaha untuk mengesan pelaku dan apa-apa perkembangan kita akan kongsi," katanya pada program Menyantuni Petugas Ops Selamat di persimpangan Bangunan Sultan Iskandar-Jalan Lingkaran Dalam Johor Bahru, malam hari ini.

Terdahulu, media melaporkan ancaman bom di Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) yang diterima pengurusan bangunan berkenaan menerusi emel adalah palsu.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman dilaporkan mengesahkan menerima maklumat ancaman bom menerusi emel dihantar individu yang mendakwa dirinya bernama Takahiro Karasawa (takahiro- karasawa@akita-h-story.jp) pada pagi hari ini.

Beliau berkata, susulan penerimaan emel terbabit, MBJB membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan.

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/02/1060179/ketua-polis-johor-turut-terima-ancaman-bom?insEmail=1&insNltCmpId=21229&insNltSldt=10080&insPnName=hmetro&isIns=1&isInsNltCmp=1&utm_campaign=hm&utm_content=&utm_medium=email&utm_source=insider&utm_status=true&utm_term=edm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...