Isnin, 29 Januari 2024

Sarjan polis ditahan bantu siasatan kes rogol pelajar 16 tahun

 


IPOH: Anggota polis berpangkat sarjan yang dipercayai terlibat dalam kes rogol pelajar perempuan tingkatan empat di Seri Iskandar tahun lalu, telah ditahan semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, suspek berusia 42 tahun itu diberkas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah.

“Suspek ditahan reman sehingga Rabu ini untuk siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

“Selain mangsa, kita telah memanggil beberapa saksi lain untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan program Healthy Eating Active Living (H.E.A.L) di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Yusri mengulangi jaminan bahawa siasatan kes berkenaan dijalankan secara telus bagi memberi keadilan kepada semua pihak terutama mangsa.

“Tidak kira siapa pun suspek termasuk warga polis sendiri, kita akan berlaku adil dan siasat secara telus. Disebabkan kes melibatkan anggota polis, siasatan turut dijalankan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) untuk tindakan dalaman,” katanya.

Terdahulu, seorang remaja perempuan berusia 16 tahun mendakwa menjadi mangsa rogol anggota polis berpangkat sarjan berusia 42 tahun.

Difahamkan, perbuatan itu berlaku di dalam kereta di hadapan balai polis dan di kawasan tempat letak kereta di hadapan sebuah pasar raya di Seri Iskandar pada Julai dan Oktober, tahun lalu.

Kejadian itu terbongkar selepas remaja terbabit memberitahu ibunya berkaitan kejadian berkenaan baru-baru ini. – UTUSAN

https://www.utusan.com.my/nasional/2024/01/sarjan-polis-ditahan-bantu-siasatan-kes-rogol-pelajar-16-tahun/

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...