Jumaat, 12 September 2014

Memburu anggota APMM yang didapati menerima rasuah daripada nelayan asing


Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan mempertingkat penguatkuasaan di kawasan perairan negara dengan pemantauan dan rondaan 24 jam sehari (Klik) bagi mengekang kegiatan pencerobohan nelayan asing daripada terus berleluasa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata menerusi pendekatan itu, kapal atau bot APMM akan melakukan pertukaran tugas di lautan agar kawasan di bawah pemantauan APMM sentiasa terkawal daripada sebarang pencerobohan.
"Sebelum ini bot akan pulang ke pangkalan untuk melakukan pertukaran tugas dan ia mengambil masa yang lama untuk bot seterusnya kembali ke laut.

“Ini menyebabkan kawasan yang berkenaan ditinggal tanpa kawalan dan memberi ruang nelayan asing melakukan pencerobohan dan menangkap ikan di kawasan berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan Sesi Dialog bersama nelayan kawasan Kuantan, Pekan dan Nenasi di pejabat APMM di Kuantan, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah APMM Datuk Mohd Amdan Kurish dan Ahli Dewan Undangan Negeri Peramu Jaya Datuk Sh Mohmed Puzi Sh Ali.
Dalam dialog berkenaan Shahidan mendengar masalah pencerobohan nelayan asing khususnya dari Vietnam yang menggunakan lesen bot tempatan sering kali mengganggu aktiviti penangkapan ikan nelayan tempatan.
Shahidan berkata, APMM serius dalam menangani permasalahan para nelayan di perairan Laut China Selatan khususnya nelayan di Kuantan ekoran pencerobohan nelayan asing berkenaan.
Katanya, APMM juga akan menggerakkan pasukan sukarelawan, Sahabat APMM yang terdiri daripada nelayan atau anak nelayan bagi membantu anggota APMM dalam operasi penguatkuasaan agar pencerobohan itu dibanteras habis-habisan.
"Sahabat APMM ini mungkin kita akan bagi kuasa menangkap atau menahan mana-mana nelayan asing yang didapati melakukan pencerobohan kawasan penangkapan ikan nelayan tempatan.
"Jika aset kita tidak cukup, kita akan sewa bot nelayan tempatan atau agensi yang lain asalkan pencerobohan ini dapat diatasi," katanya.
Sementara itu, Amdan berkata pihaknya akan memburu anggota APMM yang didapati menerima rasuah daripada nelayan asing berkenaan agar mereka dilepaskan sekiranya tertangkap di lautan.
"Jika nelayan dapat tahu mana-mana anggota APMM yang menerima rasuah 'sotong kering' atau ikan yang ditangkap nelayan asing berkenaan agar mereka dilepaskan sila buat laporan segera beserta bukti dan kita akan singkirkan anggota berkenaan daripada APMM," katanya. – Bernama, 11 September, 2014.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...