Rabu, 3 Disember 2014

Polis, JKKK kerjasama banteras dadah dan jenayah


KUALA TERENGGANU – Pihak polis dan JKKK akan bekerjasama membanteras penyalahgunaan dadah yang dilihat semakin meningkat belakangan ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, kerjasama bersepadu itu akan dijalankan bermula bulan Disember.

“Kita akan bekerjasama dengan pihak JKKK untuk menyalurkan maklumat berkaitan dadah di kawasan mereka.

"Kita tahu kebanyakan penagih terdiri daripada masyarakat setempat dan ada juga antaranya yang dikenali JKKK sendiri," katanya.

Kata Idris, pihaknya berharap dengan adanya kerjasama ini mereka boleh dapat maklumat secara langsung mengenai individu yang terlibat dadah di kawasan itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Polis di Dewan Integriti, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, kelmarin.

Idris berkata, kebanyakan mereka yang tahu mengenai kes dadah ini jarang melaporkan kepada pihak berkuasa kerana dipengaruhi mentaliti dan rasa kasihan kepada keluarga individu yang terlibat.

“Kita mahu pihak berkenaan ubah cara berfikir dan kita juga harap agar tiada lagi pihak yang akan rasa segan atau kasihan untuk melaporkan kes dadah ini kepada pihak berkuasa.

“Kerjasama orang ramai amat penting dalam membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah secara  besar-besaran di negeri ini,” katanya.

Menurut Idris, pihaknya telah mengeluarkan arahan supaya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri meningkatkan tangkapan mereka yang terlibat penyalahgunaan dadah setiap hari.

Berdasarkan statistik, sejak Januari hingga Oktober, sebanyak 55 kes tangkapanbabitkan aktiviti pengedaran dadah mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 manakala secara purata terdapat 10 kes melibatkan dadah setiap hari.

“Mereka yang ditahan berusia lingkungan 30-an hingga 40-an namun ada juga remaja dan pelajar yang terbabit. Kebanyakan dadah yang diambil ialah jenis metamphetamin dan heroin,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya telah mengenal pasti beberapa kawasan panas yang jadi tumpuan pengedar.

“Kita telah mengenal pasti beberapa kawasan yang menjadi tumpuan mereka untuk mengambil dan mengedar dadah. Di kawasan bandar aktiviti ini agak kurang bagaimanapun, terdapat kawasan di kampung yang menjadi lokasi tumpuan mereka,” katanya.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...