Khamis, 3 Januari 2013

HSNZ sedia khidmat urut ibu bersalin


Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Terengganu menjadi hospital keempat di negara ini yang menawarkan rawatan kepada ibu-ibu selepas bersalin.


Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata sebelum ini pusat itu diwujudkan di Putrajaya, Johor Baharu dan Kepala Batas, Pulau Pinang.

“Unit Perubatan Tradisional dan
Komplementari (PTK) yang mula beroperasi pada 2010 telah memperkenalkan perkhidmatan baru iaitu amalan perubatan tradisional Melayu dalam penjagaan ibu selepas bersalin sejak Disember tahun lalu. 

“Ini merupakan satu lagi kemudahan rawatan yang disediakan kerajaan kepada rakyat di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan ke HSNZ hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr Haji A. Rahman Mokhtar dan Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Anwa Sulaiman.

Katanya, khidmat yang ditawarkan merangkumi urutan kesegaran badan dan penjagaan payudara serta rawatan perbidanan yang dikendalikan oleh seorang pengamal PTK terlatih dan diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Selain itu unit PTK juga menawarkan dua perkhidmatan lain seperti urut tradisional Melayu dan akupuntur di mana antara yang telah dirawat adalah pesakit angin ahmar serta pesakit yang menghidap penyakit kronik melebihi tiga bulan.

 “Sehingga ini seramai 1,847 pesakit telah menerima rawatan di pusat ini iaitu 733 pesakit (2010), 251 pesakit (2011) dan 593 pesakit antara Januari hingga November tahun lalu,” katanya.

Menteri Besar yang diiringi isteri To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud turut meninjau Unit Rawatan Kecemasan (CCU) yang baru siap diubahsuai dengan kos RM14 juta di HSNZ.

Sumber:teganukita
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...