Jumaat, 30 Mac 2012

JHEAT laksana program pulih akidah pengikut Ayah Pin


Image Detail
Kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) melaksanakan program pemulihan akidah secara intensif bagi memastikan sekumpulan bekas pengikut ajaran sesat Ayah Pin dapat dipulihkan dan kembali kepada ajaran Islam sebenar.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat, berkata sekumpulan kecil pengikut Ayah Pin dikatakan masih mengamalkan ajaran itu di kalangan mereka dan ahli keluarga yang tinggal di penempatan asal mereka di perumahan Kampung Batu 13, Hulu Besut.
Manakala sebilangan lagi yang dikategorikan `pengikut tegar’, dilaporkan sering berulang-alik ke kawasan tersebut.



“Bekas pengikut Ayah Pin ini mengakui mereka sebagai Islam, tetapi ada antara amalan mereka jelas bertentangan dengan syariah serta meragukan.

“Kita bukan bermaksud menolak agama lain yang dianuti rakyat di negara ini yang mempunyai pelbagai etnik bangsa dan kepercayaan agama. Bagaimanapun, sebagai umat Islam kita harus mengamalkan ajaran Islam dengan betul bersandarkan hukum serta prinsip yang jelas dan tidak melakukan amalan yang bertentangan dengan agama, ” katanya ketika ditemui di pejabat JHEAT, Kuala Terengganu, hari ini. Hadir sama, Pesuruhjaya JHEAT, Haji Rozali Saleh.
Image Detail
Haji Khazan berkata, ada di kalangan bekas pengikut Ayah Pin mengakui `ada hubungan dengan ‘Kerajaan Langit’ dan menganggap semua agama adalah sama dan menyuruh manusia melakukan kebaikan dan disebabkan itu jugalah mereka memilih untuk melakukan amalan yang terdapat dalam agama Hindu.

Image Detail

Sementara itu, Haji Rozali ketika diminta mengulas mengenai Ayah Pin kembali ke kampung tersebut dan lumpuh separuh badan akibat angin ahmar berkata, JHEAT turut menerima maklumat daripada adik Ayah Pin sendiri bahawa Ayah Pin kini memang berada di perkampungan itu dan sedang sakit.
Image Detail
Selain itu, JHEAT tetap melakukan pemantauan secara berterusan bagi mengelak wujudnya kegiatan ajaran sesat yang baru.

“Memang sukar mengubah hati (sekumpulan kecil) pengikut Ayah Pin. Kita tidak mahu mengatakan kita sudah berjaya. Jika kita berbalik kepada sirah Rasulullah s.a.w juga, bukan mudah mengubah hati penentang-penentang agama Islam.
Image Detail
“Bagaimanapun, kita harap ajaran sesat itu tidak berkembang dan usaha membangunkan replika yang kita robohkan di perkampungan itu tidak berlaku sama sekali,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...