Khamis, 22 Mac 2012

Janji BN Terengganu - 5,500 nelayan dapat RM200

 
Kerajaan Terengganu akan menaikkan kadar bantuan tahunan kepada lebih 5,500 nelayan di seluruh negeri ini daripada RM100 kepada RM200, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said.

Menurut beliau, agihan yang melibatkan peruntukan kira-kira RM1.1 juta itu terlaksana sekiranya Barisan Nasional (BN) terus diberi mandat mentadbir negeri ini selepas Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 akan datang.
Katanya, bantuan yang diperkenalkan tahun lalu itu bukan ‘gula-gula’ pilihanraya, sebaliknya inisiatif kerajaan negeri untuk mengurangkan beban golongan itu khususnya pada musim tenkujuh.

 
“Walaupun tidak seberapa, bantuan ini sebagai saguhati kepada golongan nelayan di Terengganu. Selain itu, sebahagian besar daripada mereka turut menerima elaun sara diri berjumlah RM200 sebulan daripada Kerajaan Pusat,” katanya.
 
Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama nelayan di Dewan Besar Wisma Darul Iman semalam yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB. Asha’ari Idris.
 
Pada siri majlis kali keempat itu, lebih 1,000 nelayan dari seluruh negeri menerima bantuan bernilai RM100 seorang yang disampaikan Dato’ Seri Ahmad.

Walau bagaimanapun kata beliau, golongan nelayan dinasihatkan tidak terpedaya dengan janji-janji manis pihak pembangkang yang lebih banyak bercakap dan berceramah untuk memburukkan pihak kerajaan.

“Banyak kes sebelum ini, mereka (pembangkang) menjadikan nelayan sebagai alat politik. Mereka buat demontrasi ajak nelayan. Buat ceramah ajak nelayan. Lepas itu kutip derma dari nelayan.

“Kerajaan nak dalamkan muara sungai pun, mereka (pembangkang) ajak nelayan tunjuk perasaan. Padahal, program yang dirancang kerajaan untuk faedah rakyat. Bila rakyat dapat manfaat, pemimpin pembangkang akan pening kepala. Saya tidak tahu kenapa,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...