Ahad, 23 Disember 2012

Penyokong Pas pulaukan imam pro-UMNO


PASIR PUTEH 19 Dis. - Bekas penggerak Jawatankuasa Keselamatan Pas Kelantan, Saidi Hussin mendedahkan, Amanat Haji Hadi telah menyebabkan ramai umat Islam dalam kalangan penyokong parti itu di jajahan ini memulaukan imam masjid yang dilabelkan sebagai pro-UMNO.

Keadaan itu berlaku, dakwa beliau, disebabkan penyokong tegar Pas sehingga ke hari ini masih berpegang kepada fahaman bahawa mereka yang menyokong UMNO tidak boleh dijadikan imam dan daging sembelihan mereka dianggap 'bangkai' yang haram untuk dimakan.

Saidi yang juga bekas pegawai keselamatan Pusat Pengajian Pondok Kelantan mendakwa, berdasarkan penelitian yang dibuat mendapati, ramai penyokong Pas mendirikan solat Jumaat di luar mukim hanya kerana imam di mukim mereka tidak sealiran fahaman dan anutan politik.

"Semuanya adalah penangan amanat pemimpin berkenaan yang banyak tersasar dan menyeleweng daripada landasan perjuangan Islam sebenar.

"Jika dikaji ia lebih kepada kepentingan politik keperibadian. Saya menyeru mereka yang terlibat kembali ke pangkal jalan, bertaubat dan tidak berpegang kepada amanat berkenaan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas pendedahan bekas aktivis dan penyokong tegar Pas, Zainon Ismail atau lebih dikenali sebagai C.N al-Afghani bahawa puluhan ribu pengikut parti itu masih berpegang kepada Amanat Haji Hadi yang dibuat oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Mengulas lanjut, Saidi mendakwa, perkembangan yang tidak sihat termasuk memulau imam mukim yang menyokong UMNO masih berlaku di kawasan sempadan Pasir Puteh/Besut sejak dahulu.

"Amanat Haji Hadi menyebabkan berlakunya perceraian suami isteri dan sebahagiannya terpaksa melakukan akad nikah kali kedua. Semua ini wajib dibetulkan semula," katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa, Pas sebenarnya bukan parti politik yang mampu mendaulatkan agama Islam dan perpaduan umat keseluruhannya kerana amanat yang dikeluarkan pemimpin mereka lebih menjurus kepada perpecahan dalam kalangan umat Islam.

"Kenapa Haji Hadi takut untuk menarik balik amanatnya secara terbuka? Sekiranya benar dia memperjuangkan Islam sebagai 'addin', pemimpin itu tidak perlu khuatir terhadap kemerosotan populariti dalam arena politik tanah air," katanya.

Beliau sehubungan itu menyarankan agar Majlis Fatwa Kebangsaan memanggil Abdul Hadi dan menggesa beliau menarik balik amanatnya itu secara terbuka bagi menghakis kekeliruan dalam kalangan umat Islam di negara ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...