Khamis, 22 September 2011

Pendidikan Keselamatan Jalan Raya Di Sekolah Menengah Tahun Depan


PUTRAJAYA, 21 Sept (Bernama) -- Bermula tahun depan pendidikan keselamatan jalan raya akan dijadikan kurikulum di sekolah menengah selepas ia diperkenalkan di sekolah rendah sejak tahun 2007, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha.

Beliau berkata ia adalah sebahagian daripada usaha kerajaan dan agensi berkaitan termasuk Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) untuk mendidik masyarakat supaya lebih berhemah di jalan raya sejak di usia muda, sekaligus membantu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Pada April 2007, JKJR dengan kerjasama Kementerian Pelajaran memperkenalkan pendidikan keselamatan jalan raya yang diterapkan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, bermula di 1,000 sekolah rendah terpilih.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis perhimpunan 1MOT dan Mesra Aidilfitri kementerian itu di sini Rabu, Kong berkata pihaknya sentiasa mengambil berat tentang masalah keselamatan jalan raya di negara ini selepas Ops Sikap ke-24 menunjukkan peningkatan 16.6 peratus kes kemalangan iaitu kepada 19,606 kes berbanding 16,817 kes pada Aidilfitri tahun lepas.

Beliau berkata JKJR turut memperkenalkan rancangan tindakan untuk 10 tahun bermula tahun ini hingga 2020 yang juga satu inisiatif di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya.

Kong berkata semasa mengikuti persidangan bersama menteri pengangkutan negara anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) baru-baru ini, beliau dimaklumkan negara lain di seluruh dunia turut mengalami kadar kemalangan dan kematian jalan raya yang tinggi.

Beliau berkata statistik pada tahun lepas menunjukkan 60 peratus kematian jalan raya di negara ini melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal berikutan lebih daripada 45 peratus jumlah kenderaan di jalan raya adalah motosikal.

Dalam perkembangan lain Kong berkata pihaknya masih menunggu keputusan Lembaga Pengarah Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) berhubung keputusan untuk tidak membina jambatan udara (aerobridge) di Terminal Syarikat Penerbangan Tambang Murah yang baru (KLIA2).

Selain menerima rayuan daripada golongan kelainan upaya, Kong berkata beliau turut menerima surat daripada Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) supaya MAHB mempertimbangkan semula keputusan itu.

"Permintaan mereka adalah munasabah. Saya sudah panjangkan surat itu kepada MAHB dan mereka perlu buat keputusan. Mengenai pendirian kerajaan, bagi kami MAHB perlu mengkaji lebih lanjut perkara itu," katanya.

Mengenai sama ada kontrak Datuk Solah Mat Hassan akan disambung semula atau tidak selepas bersara Khamis lepas sebagai Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, Kong berkata perkara itu di bawah bidang kuasa Jabatan Perkhidmatan Awam.

"Setakat ini kita belum dapat apa-apa maklumat lagi," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...