Ahad, 11 September 2011

Bukti Anwar semakin terdesak



KUALA LUMPUR 9 Sept. - Pendedahan bahawa wujud pihak tertentu yang membayar laman web WikiLeaks supaya menyiarkan berita kes liwat melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai konspirasi kerajaan membuktikan Ketua Pembangkang itu semakin terdesak untuk memulihkan imejnya yang sudah tercalar.

Bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari tidak terkejut dengan pendedahan tersebut kerana percaya situasi yang sedang dihadapi Anwar memungkin beliau mengambil apa sahaja tindakan untuk memulihkan kembali imejnya.

"Saya tidak terkejut dengan pendedahan tersebut kerana situasi Anwar yang sangat terdesak ketika ini. Beliau sendiri tahu bahawa imejnya sangat teruk sekarang, orang ramai juga mula sedar dengan sikap putar alamnya.


"Jadi tidak hairan sekiranya beliau menggunakan media antarabangsa seperti WikiLeaks untuk membantu memulihkan imej dengan mewujudkan pelbagai cerita dongeng serta fitnah terhadap kerajaan serta Perdana Menteri semata-mata untuk mengalihkan perhatian umum.

"Tambahan pula, beliau mempunyai sumber kewangan yang luar biasa sehingga membolehkannya mengawal media luar," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas pendedahan yang dilakukan salah seorang pengasas Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ng Lum Yong bahawa terdapat pihak tertentu yang membayar laman web WikiLeaks supaya portal itu menyiarkan berita mengenai kes liwat melibatkan Anwar sebagai satu konspirasi kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Lum Yong juga mendakwa bahawa beliau mempunyai bukti tentang perkara tersebut dan sedia mendedahkan kepada umum apabila tiba masanya.

Pengerusi Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin juga sependapat dengan menyatakan bahawa pendedahan tersebut membuktikan bahawa Anwar serta pembangkang semakin terdesak dan telah ketandusan idea.

"Mereka menggunakan Wikileaks sebagai saluran untuk menarik perhatian negara luar walaupun kita sendiri sedar bahawa laporan portal berita berkenaan tidak boleh terlalu dipercayai," jelasnya.

Sementara itu, Yang Dipertua Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwandin Hamzah pula berkata, sudah menjadi kebiasaan Anwar menuduh kerajaan sebagai dalang di sebalik masalah moral yang dihadapinya.

"Setiap kali timbul isu baru membabitkan masalah moralnya, Anwar pasti akan menuduh kerajaan sebagai dalangnya kerana ini merupakan strategi beliau untuk mengalihkan perhatian rakyat terhadap masalah yang dihadapinya," ujarnya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...