Rabu, 28 September 2011

Lampu isyarat punca sesak

Image Detail

SEBERANG MARANG – Orang ramai mendakwa sistem lampu isyarat yang mula diaktifkan di persimpangan empat menuju ke Kampung Darat Pak Chan di sini, sejak kira-kira dua minggu lalu menimbulkan keadaan kelam-kabut dan sesak di situ. 

Tinjauan Sinar Harian di persimpangan itu semalam, mendapati, kenderaan berbaris panjang untuk melepasi persimpangan itu kerana pemandu terpaksa akur dengan sistem lampu isyarat yang baru beroperasi di situ. 
Dalam tinjauan sama, pada waktu puncak iaitu pada waktu pagi dan berakhir waktu pejabat, dere-tan kenderaan kadang kala dilihat sampai ke Jambatan Seberang Marang dari persimpangan. Malah, keadaan sesak juga berlaku dari arah bertentangan. 

Dengan keadaan di jalan itu yang dipenuhi dengan kedai makan, berdekatan masjid dan rumah penduduk, kesesakan bertambah teruk apabila terdapat kenderaan diletakkan di kiri dan kanan jalan sekali gus mampu menyebabkan kemalangan. 

Seorang pengguna jalan raya yang ditemui, Abdullah Muda, 40-an berkata, sebelum lampu isyarat itu wujud, pemandu biasanya ada persefaha-man dan memberi laluan untuk kenderaan yang hendak keluar atau masuk persimpangan. 

“Namun apabila ia mula berfungsi, keadaan menjadi sesak kerana kenderaan perlu berhenti untuk satu tempoh tertentu dan keadaan menjadi semakin teruk pada waktu puncak iaitu pada waktu pagi dan berakhir waktu pejabat setiap hari. 

“Saya berpendapat pemasangan lampu isyarat itu tidak sesuai kerana jumlah kenderaan keluar dan masuk tidak banyak. Saya juga menggunakan jalan ini tiap-tiap hari dan rasa tidak perlu lampu isyarat,” katanya. 

Bagaimanapun, bagi Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Desa Permai, Kampung Darat Pak Chan, Mamat Muslim, 58, kesesakan hanya berlaku pada waktu tertentu. 

Menurutnya, walaupun keadaan dilihat sesak, namun suasana itu lebih baik daripada tiada langsung lampu isyarat kerana kemalangan sering berlaku di situ, dan pemasangan lampu isyarat diharap dapat mengurangkan risikonya. 

“Biarlah sesak sedikit, daripada terpaksa berhadapan risiko kemala-ngan di persimpangan itu dan saya rasa keadaan kelam-kabut akan beransur reda apabila pengguna sudah biasa dengan operasi lampu isyarat itu,” katanya. 

Dalam pada itu, Mamat turut mencadangkan agar jalan di persimpangan dilebarkan bagi mengatasi kesesakan kerana keadaan itu berlaku bukan berpunca daripada sistem lampu isyarat, tetapi faktor jalan sempit menjadi penyumbang kepada kesesakan. 

Sementara itu, wakil pihak berkuasa tempatan (PBT), Setiausaha Majlis Daerah Marang (MDM), Lizan Che Mat berkata, pihaknya juga sedia maklum mengenai kesesakan berpunca dari lampu isyarat dan keadaan jalan sempit dan ia sedang dikaji serta dalam perhatian PBT.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...