KUALA LUMPUR: PAS telah menetapkan
untuk TIDAK MELAKSANAKAN LAFAZ BAI'AH TALAK TIGA bagi calon Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di seluruh
negara termasuk di Kelantan, namun mengekalkan LAFAZ BAI'AH TAAT SETIA KEPADA PARTI.
Perkara itu disahkan sendiri Presiden
parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selepas selesai mesyuarat PAS Pusat, di ibu
pejabatnya, semalam.
Terdahulu, media melaporkan Abdul Hadi
berkata sumpah bai'ah cerai talak tiga bagi calonnya di Kelantan akan diteruskan
lagi bagi memastikan tiada peristiwa wakil rakyatnya lompat parti.
"Baiah semua, seluruh negara sama.
Majlis Syura Ulama PAS sudah buat keputusan satu baiah.
"(Talak tiga) Tidak ada, itu
tambahan negeri masing-masing (sebelum ini), (sekarang) tidak ada.
"Itu khusus berlaku di Kelantan
dulu, tidak ada (lagi) (sekarang)," katanya kepada media.
Februari lalu, Majlis Syura Ulama (MSU)
PAS sudah memutuskan untuk mengekalkan sumpah bai'ah ke atas calon yang akan
bertanding mewakili parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan
datang.
Bagaimanapun, Setiausaha MSU, Datuk Dr
Nik Zawawi Nik Salleh berkata keputusan berhubung sumpah bai'ah talak tiga akan
mengikut keperluan dan situasi politik negeri-negeri tertentu.
Mengulas lebih lanjut perkara itu, Naib
Presiden PAS, Dr Idris Ahmad berkata presidennya sudah menjelaskan perkara
tersebut semasa mesyuaratnya (semalam), dan kenyataannya itu sudah disalah erti
media.
Jelasnya, sumpah bai'ah talak tiga
tidak akan dilaksanakan di semua negeri seperti yang telah diputuskan sebelum
ini, namun mana-mana negeri yang merasakan perlu untuk melaksanakan sumpah
tersebut mesti mendapatkan kelulusan daripada Majlis Syura Ulama (MSU) terlebih
dahulu.
"Dia tidak sebut begitu, kalau
ikut tadi. Tadi (mesyuarat) dia kata kepada negeri-negeri terpulang. Umumnya
kita takde baiah itu."
"Tidak ada bincang soal baiah,
sebab umumnya dikeseluruhannya tidak ada talak tiga. Tapi kalau ada setengah
negeri yang nak buat itu bermakna kena minta kelulusan Majlis Syura Ulama. Itu
maksud Tok Guru (Abdul Hadi). Umumnya tidak ada," ujarnya pula.
Isu lafaz bai'ah cerai talak tiga PAS
menjadi perdebatan secara terbuka selepas beberapa pimpinan kanan di Kelantan
bertindak keluar parti.
Namun sehingga kini status pengesahan
lafaz berkenaan tidak dapat disahkan sama ada jatuh talak atau tidak terhadap
isteri masing-masing.
Lafaz itu dibuat setiap wakil rakyat
PAS di negeri itu sejak 2004 ketika zaman Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik
Mat dan diteruskan sehingga pilihan raya lalu.
Antara wakil rakyat PAS yang melanggar
bai'ah tersebut di Kelantan ialah Ahli Parlimen Kuala Krai Dr Mohd Hatta Ramli
dan ADUN Salor Husam Musa yang kini bersama Amanah.
Sementara itu, mengulas mengenai salah
faham yang timbul, Idris 'menasihatkan' media untuk merujuk mereka terlebih
dahulu sebelum melaporkan sesuatu perkara yang tidak jelas sehingga menimbulkan
salah faham.
"Kita harapkan benda benda yang
melibatkan (penting) sepatutnya mereka reconfirm balik.
"Kadang-kadang mereka pun tidak
faham terma atau pun maksud yang dimaksudkan Tok Guru itu.
"Sepatutnya sebagai wartawan
terutama isu yang agak sensitif ini biar kita sahkan balik, adalah lebih baik
daripada kita sebar dulu kemudian nak tarik balik," tegas beliau.
Sumber: KLIK DISINI