Jumaat, 27 April 2018

#PRU14#: TUN MAHATHIR DAN ANWAR HALANG PENTADBIRAN ISLAM


Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, didakwa sebagai DUA INDIVIDU penting yang MENGHALANG PENTADBIRAN ISLAM dilaksanakan di Kelantan dan Terengganu.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata Dewan Undangan Negeri Kelantan dan Terengganu di bawah pentadbiran PAS meluluskan undang-undang jenayah syariah yang bersifat mendidik masyarakat, masing-masing pada awal serta penghujung 1990-an.

Beliau berkata, bagaimanapun mereka tidak dapat melaksanakannya kerana ditentang oleh Dr Mahathir dan Anwar yang ketika itu adalah Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

"Tiba-tiba bila dah lulus, Dr Mahathir hantar surat kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat memberi amaran supaya jangan laksanakan... kalau laksanakan undang-undang itu, Kerajaan Pusat akan bertindak.


"Oleh kerana kita mahu memelihara hubungan, kita bawa undang-undang itu ke Parlimen. Saya sendiri membawa usul dan membentangkan Rang Undang-Undang Persendirian, namun kita disekat dan dihalang," katanya pada sidang media selepas ceramah perdana jelajah Presiden PAS dan munajat PRU-14 di sini, malam tadi.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Mustaffa Daharun.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, perjuangan PAS berhubung undang-undang berkenaan akhirnya menampakkan hasil apabila kerajaan Persekutuan ketika ini, sedia berunding dan bersetuju dengan usul pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 2016 (RUU 355) untuk dibentangkan di Parlimen.

Pindaan yang dicadangkan itu antara lain meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah untuk menjatuhkan hukuman penjara maksimum hingga 30 tahun, hukuman denda maksimum hingga RM100,000 dan hukuman sebatan rotan 100 kali.

Abdul Hadi berkata, Dr Mahathir juga menghalang kerajaan negeri Kelantan mentadbir mengikut cara sendiri dengan menubuhkan Jabatan Persekutuan untuk mengendalikan urusan negeri.

Selain itu, Abdul Hadi mendakwa kerajaan pusat di bawah pimpinan Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim turut melewatkan pemberian geran kepada kerajaan negeri bertujuan menyukarkan mereka membayar gaji kakitangan kerajaan.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan untuk bergabung dengan BN atau pembangkang sekali lagi, beliau dengan berseloroh berkata akan menubuhkan kerajaan perpaduan jika mereka dapat memenuhi tuntutan PAS supaya menerapkan dasar Islam dalam pentadbiran.


Sumber: KLIK DISINI
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...