Rabu, 16 Ogos 2017

PAS gesa kerajaan siasat semula insiden Memali

KOTA BARU, 16 Ogos — Naib presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah hari ini menggesa agar kerajaan persekutuan menubuhkan sebuah suruhanjaya diraja bagi menyiasat kembali peristiwa BERDARAH Memali untuk menjelaskan isu sebenar yang berlaku semasa kejadian.
Katanya, dahulu lagi telah timbul pelbagai spekulasi dan tuduh-menuduh berhubung peristiwa itu kerana tiada sebarang siasatan telus dijalankan oleh mana-mana pihak.
“Jadi dengan adanya suruhanjaya diraja, kita percaya ia boleh menyelesaikan banyak isu dan boleh menyelesaikan salah tanggapan dan tuduh-menuduh ini... itu yang penting. Once and for all... boleh selesai isu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri acara lafaz dan menandatangani ikrar bebas rasuah bersama menteri besar Kelantan dan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini hari ini.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob mengetuai lafaz bacaan ikrar itu sambil disaksikan ketua pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad.
Mohd Amar mengulas mengenai jawapan yang tidak memuaskan berkaitan peristiwa Memali oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi punca utama berlakunya kekecohan semasa majlis Nothing to Hide 2.0 di Shah Alam, Selangor, Ahad lepas.
Peristiwa Memali yang berlaku pada 19 November 1985 menyaksikan 18 orang termasuk empat anggota polis terbunuh dan ramai lagi cedera ketika polis melancarkan operasi menangkap guru agama Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali dengan nama Ibrahim Libya.
Ditanya mengenai sikap Dr Mahathir yang dilihat berdolak-dalik berhubung tuduhan liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd Amar berkata Dr Mahathir perlu meminta maaf secara terbuka kepada Anwar jika beliau telah mengemukakan tuduhan palsu terhadap bekas timbalannya itu.
“Kalau betullah tuduhan itu tuduhan palsu, pada pandangan saya Dr Mahathir perlu meminta maaf secara terbuka sebab benda itu mengaibkan Anwar dan keluarganya, bukan benda kecil... dah jadi isu negara, dunia.
“Kalau betul tuduhan itu macam mana dia (Dr Mahathir) boleh bersama Anwar dalam politik, dan kalau menang Pakatan Harapan (pada pilihan raya umum ke-14), salah satu cadangan mereka adalah Anwar akan jadi perdana menteri.
“Jadi kalau Anwar betul-betul terlibat dalam liwat sebagaimana tuduhan Dr Mahathir, adakah Dr Mahathir akan telan balik ludah dia dulu,” katanya. —Bernama


Sumber: KLIK DISINI
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...