Rabu, 2 Ogos 2017

Ketua Audit Negara dedah punca kerugian Tekun Nasional

KEAHLIAN jawatankuasa audit, integriti dan risiko Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional) seramai empat ahli termasuk pengerusinya tidak mempunyai latar belakang perakaunan dan tidak menjadi ahli kepada badan perakaunan, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara 2016 siri 1.
Di dalam laporan itu, Ketua Audit Negara menjelaskan, berdasarkan 'Green Book: Enhancing Board Effectiveness', salah seorang ahli jawatankuasa audit hendaklah ahli kepada Institut Akauntan Malaysia.
'Bursa Securities Listing Requirements' juga menyarankan salah seorang ahli jawatan kuasa audit mempunyai latar belakang perakaunan.
Berdasarkan semakan Ketua Audit Negara Lembaga Amanah Tekun Nasional telah bersetuju bahawa mesyuarat jawatankuasa audit, integriti dan risiko (JKAIR) diadakan sebanyak empat kali setahun.
Semakan audit mendapati kekerapan mesyuarat JKAIR tidak mengikuti ketetapan yang telah dipersetujui oleh lembaga Amanah, kekerapan mesyuarat diadakan antara satu hingga dua kali setahun bagi 2013 hingga 2015.
Semakan audit juga mendapati laporan kewangan tahunan Tekun Nasional bagi tahun berakhir 31 Disember 2013 dan 2014 telah dibentangkan kepada JKAIR.

Bagaimanapun laporan bertentangan yang dikeluarkan oleh juruaudit luar terhadap penyata kewangan Tekun Nasional pada tahun kewangan tersebut hanya dibincangkan pada mesyuarat JKAIR pada 19 julai 2016.
Pihak Ketua Audit Negara berpendapat kelewatan membincangkan perkara laporan bertentangan ini menyebabkan isu ini tidak dapat diselesaikan sejak tahun 2013 hingga 2015.
Sementara itu, Laporan Audit juga melaporkan  prestasi kewangan Tekun Nasional bagi tahun 2013 hingga 2015 adalah kurang memuaskan kerana bebanan hutang kepada kerajaan dan hapus kira hutang lapuk usahawan yang tinggi. Kerugian terkumpul pada akhir tahun 2015 berjumlah RM209.28 juta.
Selain itu, Laporan Audit juga menegaskan pengurusan aktiviti adalah selaras dengan objektif penubuhan tetapi kurang teratur dan amalan tadbir urus korporat juga kurang memuaskan serta perlu diberi perhatian oleh Tekun Nasional.
Antara semakan Audit mendapati kajian menyeluruh tidak dijalankan untuk menilai keberkesanan penggunaan dana oleh usahawan dalam memulakan dan mengembangkan perniagaan bagi meningkatkan taraf hidup mereka yang diberi bantuan pembiayaan.
Sasaran tempoh masa dan outcome yang perlu dicapai bagi enam Program Khas Pembangunan Usahawan tidak ditetapkan, Skim Jaminan Kredit Tekun gagal mencapai objektif kerana kurang sambutan daripada syarikat pembekal.
Bagi Program Mentor Mantee pula Jawatankuasa Program Bersama tidak diwujudkan dan Laporan Bulanan Program tidak dikemukakan oleh tiga syarikat mentor tersebut.
Kegagalan pelaksanaan Portal Keusahawanan Tekun, Kad Komuniti Usahawan Tekun dan Cyber Mall menyebabkan kerugian berjumlah RM872.035 – HARAKAHDAILY 1/8/2017


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...