Khamis, 29 November 2012

MILF, Hamas Dan Fatah Di Perhimpunan Agung UMNO.


TUN MAHATHIR FORUM A'BANGSA 
Dr. Mahathir Mohamad berbual dengan Ketua Perhubungan Antarabangsa Hamas, Osama Hamdan (dua dari kanan) sambil diperhatikan Pengerusi MILF, Murad Ebrahim (kiri) dan Timbalan Komisioner Perhubungan Antarabangsa Al-Fatah,Dr. Abdullah M.I. Abdullah (dua dari kiri) pada majlis makan tengah hari dengan peserta Forum Antarabangsa UMNO 2012 di PWTC, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAn/SAIFUL BAHARI ASHAR

Pelik tetapi benar, dua wakil dari dua parti politik Palestin yang sememangnya sering bercakaran antara satu sama lain dapat bersama-sama duduk semeja. Namun, yang menambahkan kepelikkan lagi adalah mereka bukan duduk semeja di Palestin tetapi di Malaysia pada Perhimpunan Agung UMNO 2012 yang sedang berlangsung kini.

Yang hadir mewakili parti Fatah ialah Dr Abdullah Abdullah dan wakil dari Hamas ialah Osama Hamdan yang dijemput khas dari Palestin. Kedua-dua pemimpin ini nampaknya amat mengagumi kepimpinan Persekutuan Malaysia dan mereka amat berbesar hati untuk hadir ke Perhimpunan Agung UMNO pada tahun ini.

Dr. Abdullah Abdullah dalam ucapannya di Majlis Forum Antarabangsa sempena Perhimpunan Agung UMNO 2012 menyatakan bahawa rakyat Palestin begitu berterima kasih diatas sokongan dan dorongan yang diberikan oleh para pemimpin kerajaan Malaysia dalam perjuangan mereka menentang keganasan dan kekejaman Zionist. Osama Hamdan dan Dr. Abdullah Abdullah juga telah menyertai satu temubual khas bersama Berita TV2 pada tengah hari tadi.

Apa yang kita boleh ambil dari penyertaan pejuang-pejuang Palestin di Perhimpunan Agung UMNO adalah sokongan berterusan kerajaan Barisan Nasional dan UMNO untuk perjuangan umat Islam di luar Malaysia. Sehingga kini kerajaan Malaysia dan UMNO telah melaksanakan pelbagai usaha untuk membantu rakyat Palestin di Semenanjung Gaza. Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Muhamamad merupakan salah seorang tokoh yang menjadi pemangkin kepada usaha sama agar Fatah dan Hamas bersatu padu untuk menentang penjajahan Israel yang disokong oleh Amerika Syarikat.

Turut hadir pada Perhimpunan Agung UMNO 2012 kali ini ialah wakil dari umat Islam Moro Filipina yang diwakili oleh Tuan Murad Ebrahim. Penglibatan Malaysia dalam perjuangan mencapai keamanan oleh umat Islam Moro sememangnya telah menjadi salah satu agenda utama kerajaan Malaysia semenjak dari zaman Tun Abdul Razak lagi. Kini di zaman anaknda beliau, Datuk Seri Najib Bin Tun Abdul Razak pula umat Islam Moro telah mencapai keamanan dengan menandatangani perjanjian persefahaman antara umat Islam dan Kerajaan Filipina. Peranan Malaysia diiktiraf apabila Datuk Seri Najib dan Tengku Dato’ Ab Ghafar Tengku Mohamed dijemput hadir semasa majlis perjanjian tersebut diadakan.

Boleh dikatakan UMNO dan Barisan Nasional sedang menghantar mesej yang amat besar kepada dunia bahawa parti keramat ini tidak akan berhenti dari menyokong perjuangan umat Islam di seluruh dunia. Walaupun sesetengah pihak di dalam Malaysia yang sibuk menggelarkan UMNO sebagai parti yang tidak mengutamakan Islam, umat Islam di luar negara dan di seluruh dunia pula mengharapkan UMNO untuk menyokong perjuangan mereka.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...