Jumaat, 21 Julai 2017

Umat Islam Perlu Muhasabah Diri Demi Perpaduan

KOTA BHARU – Umat Islam termasuk ulama perlu bermuhasabah diri bagi memperkasa perpaduan ummah yang semakin rapuh kerana pendekatan dakwah berbeza, kata Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Abdul Hadi, yang juga presiden PAS, berkata ulama generasi kini masih sibuk dengan masalah khilaf (perbezaan) dalam agama sehingga menyebabkan berlakunya pertembungan fahaman dan perbalahan.
“Hari ini masalah khilafiah menyebabkan tok guru pondok berbalah mengenai beberapa perkara dalam amalan agama sedangkan masalah umat Islam yang lebih besar seperti dalam bidang politik dan ekonomi dilupakan.

“Pertembungan yang berlaku akibat gerakan tajdid (pembaharuan) yang dilakukan mengikut generasi masing-masing sedangkan orang zaman dahulu tak berbalah dan berpecah. Sekarang orang berbalah kerana mereka tak mahu kaji sejarah,” katanya ketika berucap merasmikan Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Rantau Asia kali keempat di Dataran Stadium Sultan Muhammad IV di sini, hari ini.
Abdul Hadi berkata ada juga umat Islam yang terlalu keras dalam pendekatan mereka sehingga mencetuskan peperangan yang hanya  menguntungkan segelintir pihak berkepentingan.
“Kita hadapi masalah pendekatan. Ada yang tasyaddud (melampau) dan nak berperang sahaja (dalam pendekatan mereka). Akhirnya berperang sesama sendiri sehingga menyebabkan perang proksi terutama di Asia Barat. Mereka (umat Islam) berperang sesama sendiri dan membeli senjata dari barat. Barat dapat duit tapi kita yang kehilangan nyawa,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata umat Islam juga berdepan serangan media oleh barat sehingga mencetuskan Islamofobia dalam kalangan masyarakat bukan Islam yang bertujuan menakut-nakutkan mereka dengan ajaran Islam.
Katanya Islamofobia ini boleh dihapuskan jika masyarakat bukan Islam berlapang dada dan membuat perbandingan antara kekerasan yang pernah dilakukan oleh segelintir masyarakat Islam dengan gerakan pelampau lain. – BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...