Ahad, 21 Mei 2017

UMPAMA PAKU DENGAN PENUKUL ???

MARANG – Kehadiran ternakan berkeliaran di jalan utama kampung Bukit Parit yang seolah-olah hanya menunggu mangsa, mencetuskan rasa kurang selamat pengguna jalan raya khusus yang melalui laluan berkenaan.
Malah, JKKK turut kesal kerana respon daripada penduduk masih belum memuaskan, walaupun mereka sering dimaklumkan agar memastikan ternakan masing-masing seperti lembu dan kambing tidak dibiarkan berkeliaran.

Pengerusi JKKK Bukit Parit, Mohd Jadi Mat Hassan berkata, pihaknya telah melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa tempatan dan kampung berkenaan menjadi antara lokasi pemantauan pihak terbabit.


“Kita serah kepada Majlis Daerah Marang untuk tindakan lanjut sekiranya masih ada haiwan ternakan didapati berkeliaran. Haiwan itu akan ditangkap dan kita saran penduduk beri lebih perhatian.

“Kita juga harap pengguna jalan raya tak bawa kenderaan dengan laju ketika melalui kawasan kampung. Kita turut berharap mereka (pengguna jalan raya) dapat mematuhi papan tanda amaran yang disediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kejadian kemalangan melibatkan seorang penunggang motosikal, yang dilaporkan mengalami kecederaan parah selepas melanggar haiwan ternakan berkeliaran di kampung berkenaan pada Isnin lalu.

Mohd Jadi berkata, pengguna jalan raya perlu lebih berhati-hati bagi mengelak kejadian sama berulang dan pihaknya akan terus memberi peringatan kepada penduduk agar lebih prihatin terhadap keselamatan orang ramai.

Mengulas lanjut kemalangan tersebut, beliau memaklumkan mangsa tidak menetap di kampung berkenaan dan telah dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk mendapatkan rawatan.


Sumber: KLIK DISINI
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...