Rabu, 17 Mei 2017

Murid Dikesan Merokok Membimbangkan

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengesan murid seawal tahun satu di negeri ini didapati telah merokok.

Rekod itu diperoleh menerusi Program Kesihatan Oral Tanpa Asap Rokok (Kotak) yang dilaksanakan JKNT pada tahun lalu setelah membuat ujian saringan ke atas 106,162 pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh Terengganu.

Pengarah JKNT, Dr Mohammad Omar berkata, statistik Sistem Pengurusan Informasi Kesihatan 2016 mendapati 1,276 atau 1.2 peratus daripada 106,162 pelajar sekolah menengah dan rendah di negeri ini yang menjalani ujian saringan dikesan merokok.


“Melalui statistik program Kotak ini, kita telah kesan murid seawal usia tujuh tahun atau tahun satu telah merokok dan kita telah pun memberi motivasi dan nasihat untuk hentikan tabiat tidak sihat ini.

“Justeru, kita harap agar semua pihak memainkan peranan terutamanya ibu bapa untuk sentiasa memantau aktiviti dan pergerakan anak-anak supaya mereka tidak terjebak dengan kegiatan yang tidak sihat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika hadir menyempurnakan perasmian Hari Kesihatan Pergigian Sedunia Peringkat Negeri Terengganu di Giant Cawangan Gong Badak, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Pergigian), Dr. Dayang Meriam Abang Abdul Rahman dan Penolong Pengarah Kanan (Pergigian) Dr. Rusli Ismail.

Menurut Mohammad lagi, ujian saringan yang dilaksanakan itu bertujuan memberi lebih kesedaran akan bahaya merokok hingga boleh akibatkan penyakit kanser mulut dan sebagainya.

“Kita perlu sedar bahawa kesihatan mulut adalah sangat penting memandangkan ia merupakan sebahagian organ tubuh badan yang penting kepada diri seseorang,” katanya.

Sumber: KLIK DISINI
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...