Isnin, 28 Mac 2016

Pengantin Kena Tumbuk, Duit Hantaran Tak Cukup


KUALA LUMPUR – Hanya kerana tidak menyediakan wang hantaran yang cukup, seorang pengawal keselamatan yang bakal melangsungkan perkahwinan ditumbuk ahli keluarga pasangannya dalam satu kejadian di Masjid Jamek Al-Khadijiah, Pantai Dalam, di sini kelmarin.

Mangsa ditumbuk selepas tidak dibenarkan meneruskan majlis akad nikah kerana tidak menyediakan wang hantaran mencukupi sebanyak RM15,000.

Insiden yang berlaku jam 3.15 petang itu, turut menyaksikan aksi maki hamun dan pergelutan antara ahli keluarga kedua-dua pengantin.


Difahamkan, pengantin lelaki tersebut sudah membayar RM10,000 secara ansuran sebelum majlis perkahwinan itu berlangsung, bagaimanapun pihak pe­ngantin perempuan tidak membenarkan akad nikah diteruskan selagi mangsa tidak membayar baki RM5,000.

Tidak bersetuju dengan permintaan itu, pengantin lelaki bersama keluar­ganya memutuskan untuk meninggalkan majlis akad nikah namun, dia ditumbuk oleh seorang ahli keluarga pengantin perempuan.

Menurut sumber, ahli keluarga mangsa sebelum ini bersetuju untuk membayar jumlah hantaran RM15,000 ketika mereka datang merisik pada Januari lalu.

“Pihak lelaki diminta membayar sejumlah RM15,000 oleh pihak perempuan walaupun telah diminta untuk membayar sebanyak RM7,500 sebagai wang hantaran.

“Bagaimanapun, pengantin lelaki bersetuju de­ngan jumlah itu, namun meminta supaya wang hantaran tersebut dibayar secara ansuran iaitu sebanyak RM10,000 sebelum majlis perkahwinan dan baki lagi RM5,000 dibayar selepas majlis,” kata sumber tersebut, lapor Kosmo.

Terdahulu, pengantin lelaki berusia 27 tahun itu menjalinkan hubungan istimewa dengan pasangannya 21 tahun, sejak tiga tahun lalu dan hanya berpendapatan RM1,500 sebulan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...