Rabu, 30 Mac 2016

Muhyiddin, Mukhriz Umpama Duri Dalam Daging Perlu Disingkir


KUALA LUMPUR – Laporan berhubung tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang berterusan mengkritik Presiden Umno dan bersekongkol dengan pembangkang telah dihantar kepada Lembaga Disiplin parti.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata sebagai sebuah parti berstruktur, tindakan mengikut peraturan atau perlembagaan parti itu perlu, walaupun secara asasnya perbuatan mereka boleh mengakibatkan tindakan disiplin diambil seperti digantung keahlian atau dipecat.

“Kita bukan seperti parti politik lain yang membuang ahlinya sesuka hati, Umno mempunyai cara dan peraturan yang perlu diikut seperti termaktub dalam perlembagaan parti,” katanya.


“Oleh itu, tunggulah mesyuarat Majlis Tertinggi Umno akan datang kerana saya juga menanti apa yang Lembaga Disiplin akan maklumkan kepada kami,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah Wilayah Persekutuan Putrajaya di sini Selasa.

Tengku Adnan berkata secara peribadi beliau berpandangan Muhyiddin dan Mukhriz sepatutnya mengisytiharkan diri keluar Umno selepas tidak lagi bersetuju dengan parti itu.

Dalam perkembangan lain, Tengku Adnan berkata pihaknya sedang memantau dan mengawasi perkembangan penyebaran ajaran sesat Millah Abraham@ Ibrahim yang dikesan menular di wilayah itu.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Putrajaya berkata perkembangan tidak sihat itu mula dikesan sejak lapan bulan lepas.

“Apa yang diajar sangat memeningkan tetapi barangkali oleh kerana perkara yang disebut atau diajar itu nampak mudah seperti mudah hendak berkahwin atau mudah untuk bersembahyang, ada pihak mudah terpengaruh,” katanya.

Tengku Adnan berkata modus operandi kumpulan itu ialah berpakat sesama pengikut ajaran tersebut dengan menggunakan surau sebagai platform menyebarkan fahaman kepada khalayak.

Dalam ajarannya mereka didapati mencampuradukkan ajaran Islam dan Kristian, katanya. – Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...