Ahad, 10 Januari 2016

Kejadian Banjir Lumpur Di KM52.4 Lebuhraya Berpunca Daripada Pembalakan Haram Sehingga Kini

Adakah MB Pahang masih melindungi penerokaan haram ini ??? atau perlu meletakan jawatan ??

BENTONG - Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) mendakwa pembalakan yang menjadi punca utama kejadian banjir lumpur di KM52.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak pada 11 Nov tahun lepas, sehingga kini masih giat dilakukan di Hutan Simpan Kekal Lentang.

Presidennya, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, walaupun sebelum ini pelbagai pihak menafikan keadaan itu, Peka mempunyai bukti jelas menunjukkan kegiatan penerokaan hutan tersebut semakin serius.

Bagi membuktikan perkara itu, Peka bersama beberapa agensi media termasuk Bernama, meninjau kawasan terlibat dan hasilnya amat mengejutkan apabila tanda-tanda penerokaan di hutan itu masih terus berlaku.


Banyak tunggul kayu balak dipercayai baru ditebang sebulan lepas, ditemui sebaik memasuki lebih tiga kilometer ke dalam hutan itu dengan menggunakan jalan tanah merah berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Tinggi.

Antaranya, termasuk dari jenis cengal merah dan meranti yang mempunyai nilai tinggi di pasaran.

Tinjauan turut menemui beberapa papan tanda yang menunjukkan notis lesen kegiatan pembalakan berakhir pada tahun lepas.

Paling memeranjatkan, terdapat papan tanda mengenai sebuah projek baharu, iaitu cadangan membina sebuah empangan mini hidro elektrik di kawasan Sungai Benus di situ.

Mengikut Seksyen 32 Akta Perhutanan Negara 1924, sebarang pendudukan atau perjalanan aktiviti di hutan simpan kekal adalah dilarang, dan jika ingkar boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Lebih teruk lagi, apabila anak-anak sungai turut terjejas ekoran alirannya disekat bagi membina jambatan balak dipercayai untuk mengangkut keluar hasil hutan itu.

Perlu diingat, Hutan Simpan Lentang ini mempunyai keistimewaannya sendiri kerana ia kawasan tadahan air dan mempunyai banyak kawasan air terjun dan anak-anak sungai, kata Shariffa Sabrina.

Satu pemandangan amat sedih apabila melihat pokok-pokok hutan dan kayu balak dipotong sesuka hati termasuk di kawasan penampan sungai. 
    
"Jadi, Peka telah menjawab persoalan mengenai punca kejadian banjir lumpur di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak. Kita harap kerajaan akan memberi perhatian segera kepada perkara ini bagi mengelak kejadian lebih buruk," katanya. - Bernama


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...