Jumaat, 12 Oktober 2012

Kerajaan negeri sedia berkompromi, jelas cukai tanah


Kerajaan negeri tidak pernah merampas tanah penduduk yang gagal menjelaskan cukai tanah tertunggak walaupun `hukuman’ itu termaktub dalam undang-undang tanah negeri terhadap penduduk yang mengingkari notis menjelaskan tunggakan dan denda cukai tanah mereka.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pihaknya tetap berkompromi dengan penduduk yang liat menjelaskan tunggakan dan denda berkenaan dengan mengeluarkan peringatan menerusi notis secara bertulis.


“Setakat ini tidak ada kes tanah yang dirampas. Cuma kita beritahulah. Tapi, sampai satu peringkat kita boleh rampas.

Tapi kita tidak buat lagilah. Kita keluarkan notis sebagai tanda peringatan. “Kita cuma beri peringatan. Mengikut undang-undang yang ada, kerajaan boleh merampas tanah mereka.

Tapi itu bukan matlamat kita. Yang penting kesedaran supaya mereka supaya terus membayar,” katanya di sidang media selepas Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, semalam.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah. Menteri Besar berkata, lazimnya pemilik tanah akan menjelaskan tunggakan dan denda berkenaan sebaik sahaja mereka menerima notis yang boleh menyebabkan tanah mereka dirampas kerajaan.

“Kita mengambil tindakan ini terutamanya kepada mereka yang ada tanah yang luas, tanah bangunan melibatkan cukai tinggi, yang mungkin mencecah sehingga RM100, RM200 sebulan atau 10 tahun tidak bayar sehingga melibatkan RM2,000 ke RM3,000 (keseluruhan)..kita akan ambil tindakan.

Mungkin ini kawasan tanah ladang seperti kebun getah yang luas,” katanya lagi.

Beliau berkata, masalah kegagalan menjelaskan cukai tanah kadang-kala berpunca daripada ibu bapa yang juga pemilik tanah sudah meninggal dunia mengakibatkan tanah mereka tidak diuruskan dengan betul dan tiada yang tampil menjelaskan kadar cukai tanah berkenaan.

Dalam perkembangan yang sama, beliau menjelaskan masalah kegagalan menjelaskan cukai tanah untuk tanah industri tidak ketara.

“Saya rasa tidak banyak masalah sebab mereka (pengusaha industri) sudah kaya. Bila buat industri, dia ada kilang, aset dia mesti mahal. Jadi, bila kita keluar notis, terus dia bayar. Takkan dia sanggup satu ketika kita merampas tanah dia.

“Bila rampas tanah (turut melibatkan) bangunan. Masalah (tanah industri) tidak banyak berlaku. Bagaimanapun, masalah ini lebih banyak kepada tanah pertanian, orang kampung ini, sedangkan kadar cukai tidak banyak.. RM2, RM5, tapi bila dah kumpul-kumpul (tunggakan), banyak juga,” katanya.

Sumber:teganukita
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...