Ahad, 19 Februari 2012

RM72 Juta Tingkatkan Taraf Kesihatan Rakyat Terengganu


Kerajaan negeri memperuntukkan RM72 juta bagi Tabung Dana Khas Perubatan agar rakyat mendapat kemudahan rawatan terbaik dan tidak terbeban dengan masalah kewangan sejak lima tahun lalu.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Anwa Sulaiman berkata, Terengganu merupakan satu-satunya negeri yang menyalurkan peruntukan khas kepada pihak hospital bagi menyediakan dana dalam usaha meningkatkan taraf kesihatan rakyat.
Katanya, Tabung Dana Khas Perubatan itu terbahagi kepada dua bahagian iaitu dana khas bertujuan menaik taraf perkhidmatan perubatan melibatkan peruntukan RM62 juta manakala dana khas untuk kebajikan sosial perubatan bernilai RM10 juta.


"Sejak 2007m, sumbangan berjumlah RM72 juta telah disalurkan melalui dana berkenaan bertujuan membeli pelbagai kemudahan peralatan termasuk 20 ambulans (RM3.2 juta) dan mesin Echocardiography bernilai RM1 juta," katanya pada majlis penyampaian sumbangan RM2 juta kepada Tabung Dana Bantuan Kebajikan Sosial Perubatan di Kompleks Rawatan Harian, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di Kuala Terengganu, kelmarin.



Katanya, selain ambulans dan mesin Echocardiography, menerusi tabung itu juga peralatan untuk perkhidmatan reproduktif bagi Program Bayi Tabung Uji turut dibangunkan melalui peruntukan sebanyak RM500,000.

Tambahnya, sejak ia dilaksanakan November 2009 hingga Disember 2010, lima bayi telah dilahirkan melalui kaedah tabung uji sekali gus menjadikan HSNZ sebagai salah sebuah daripada empat hospital kerajaan di negara ini yang menawarkan perkhidmatan itu.

Selain itu, jelasnya, Terengganu juga mencipta sejarah dalam perubatan negara apabila menggunakan peralatan canggih Mesin Tomografi Berkomputer Multiclise (MSCT) yang mampu menghasilkan 64 imej pada setiap imbasan.

Mesin berharga RM2 juta itu juga dapat ditingkatkan keupayaannya sehingga 128 imej melebihi keupayaan mesin imbasan biasa.

Anwa menambah, keprihatinan kerajaan negeri dalam menyediakan perkhidmatan perubatan terbaik buat rakyat disambut baik oleh pihak jabatan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...