Isnin, 6 Februari 2012

Penerima terharu terima bantuan


Penduduk Terengganu terharu dan melahirkan rasa syukur di atas pelbagai bantuan yang disediakan kerajaan untuk mereka seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Baucer Buku 1 Malaysia (BB1M) bantuan anak sekolah dan bantuan kepada pelajar pusat pengajian tinggi.

Perasaan sama turut dizahirkan penduduk di Parlimen Marang terutama yang menerima bantuan enjin sangkut dan kerusi roda sempena Program Perdana Menteri Bersama Rakyat Dun Rhu Rendang, di Padang Astaka Majlis Daerah Marang, Kampung Paya, Marang, baru-baru ini.
Seorang penerima bantuan enjin bot Zakirai Kadir, 58, ketika ditemui berkata, hasrat beliau untuk mendapatkan sebuah bot enjin sangkut termakbul jua.


Zakirai yang bekerja sebagai nelayan sejak 40 tahun lalu, sebelum ini hanya menggunakan perahu kecil untuk menangkap ikan di pesisir pantai daerah itu kerana tidak mampu membeli enjin bot yang bernilai RM8,000.

"Saya syukur atas kedatangan Dato’ Seri Najib yang memberi bantuan enjin bot kepada saya dan empat rakan yang lain," katanya .

Zakirai yang mempunyai sembilan orang anak dan tinggal di Kampung Baru Marang berkata, dengan adanya bot sendiri, beliau akan dapat bekerja dengan lebih gigih lagi.

"Saya juga bersyukur kerana selain bantuan enjin bot, saya juga menerima BR1M sebanyak RM500 dan saya akan berbelanja duit itu dengan berhemah," katanya.

Rakannya, Mohamad Ismail, 48, berkata, hasratnya yang telah lama terpendam untuk memiliki bot sendiri kini tercapai.

"Sebelum ini saya hanya menumpang bot rakan untuk bekerja sebagai nelayan. Dengan adanya bot sendiri, senanglah saya mencari rezeki," katanya yang mempunyai enam orang anak.

Warga emas Zaiton Ngah, 67, dari Kampung Surau Panjang, Bukit Payong, melahirkan rasa syukur di atas pemberian bantuan kerajaan sebanyak RM500 itu.

"Saya berharap bantuan sebegini diteruskan setiap tahun bagi membantu rakyat yang miskin dan berpendapatan rendah," katanya
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...