Rabu, 7 Disember 2011

46,000 pemilih di Terengganu belum daftar

Image Detail
Terengganu merupakan negeri yang mempunyai paling sedikit bilangan pemilih yang belum daftar berbanding negeri lain setakat ini.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, hanya tujuh peratus atau 46,000 daripada keseluruhan 649,683 pemilih di negeri ini masih belum berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Daripada statistik yang dikeluarkan SPR sebelum ini, kita dapati kira-kira 3.7 juta pemilih masih belum berdaftar di seluruh negara dan Terengganu adalah yang paling sedikit.

"Ini perkara menarik untuk diperkatakan tentang negeri ini kerana kesedaran rakyatnya untuk mendaftar sebagai pemilih adalah tinggi berbanding negeri lain," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Taklimat Pengurusan Pilihan Raya kepada 152 Pegawai Pengurus, Penolong Pegawai Pengurus dan Pembantu Pilihan Raya dari seluruh daerah di Kuala Terengganu, semalam.

Hadir sama Timbalan Setiausaha (Pilihan Raya), Datuk Noordin Che Ngah dan Pengarah Pilihan Raya negeri, Fakhrul Razi Ab. Wahab.

Terengganu merupakan negeri ketujuh yang mengadakan taklimat berkenaan dan SPR menjangkakan siri taklimat itu dapat diselesaikan menjelang Januari depan.

Mengenai persiapan pilihan raya di negeri ini, Wan Ahmad memberitahu, sebanyak 342 buah pusat mengundi akan dibuka dengan 332 daripadanya melibatkan bangunan sekolah manakala selebihnya adalah dewan orang ramai dan tabika.

"Sebanyak 1,145 saluran tempat mengundi juga akan dibuka di sini dan kita telah melantik hampir 9,000 petugas bagi melancarkan perjalanan pilihan raya kelak.

"Petugas-petugas ini majoritinya adalah bekas guru dan mereka yang berpengalaman dalam pilihan raya sebelumnya," katanya.

Tambah beliau, SPR menjangkakan Terengganu menerima peruntukan sekitar RM6.5 juta daripada keseluruhan yang dianggarkan mencecah RM300 juta bagi menjalankan persiapan pilihan raya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...