Khamis, 6 Oktober 2011

Undang-undang Ganti ISA Tekan Soal Hak Asasi Manusia Dan Keselamatan Negara - Peguam Negara


SHAH ALAM, 5 Okt (Bernama) -- Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata orang ramai perlu memberi peluang kepada Jabatan Peguam Negara untuk membuktikan dirinya bagi menghasilkan dua perundangan baru dalam menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), yang akan menekankan mengenai hak asasi awam dan keselamatan negara.

Salah satu perundangan baru itu akan menangani jenayah sementara yang satu lagi akan menyasarkan keganasan dan pergerakan subversif, katanya selepas menyampaikan syarahan bertajuk "The Current Issues on Preventive Laws" di Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini.

Beliau berkata pada masa ini, Jabatan Peguam Negara telah menubuhkan satu jawatankuasa yang terdiri daripada tiga orang bekas Ketua Hakim dan dua orang peguam yang mempunyai pengalaman luas dalam isu tersebut, untuk meneliti dua cadangan perundangan tersebut.

Jawatankuasa itu sedang membuat kajian, termasuk mengkaji perundangan daripada negara anggota Komanwel yang maju dan Kesatuan Eropah seperti Denmark, untuk membentuk undang-undang baru itu, katanya.

Abdul Gani berkata Jabatan Peguam Negara akan mendapat pandangan daripada pakar perundangan daripada Amerika Syarikat yang menderaf Akta Patriot dan para peguam yang mengamalkannya, selain wakil dari Queen Counsel dari United Kingdom.

Selain dari perspektif antarabangsa, beliau berkata jawatankuasa itu juga mengambil kira pandangan tempatan daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan agensi penguatkuasaan kerajaan termasuk polis, semasa merangka undang-undang pencegahan itu.

Beliau berkata undang-udang baru itu akan melindungi hak asasi manusia, bukan sahaja rakyat Malaysia tetapi juga hak agensi penguatkuasa kerajaan semasa melindungi keselamatan negara.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...