Isnin, 13 Jun 2016

Video: Pelajar kolej patah gigi diragut dua kali


SHAH ALAM: Seorang mahasiswa undang-undang sebuah kolej swasta di Brickfields diragut sebanyak dua kali sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian kepala dan patah gigi.

Satu klip video yang tersebar dalam laman sosial menunjukkan pelajar wanita itu, Angelin Chew Hsia, 20 sedang menunggu teksi di hadapan pos pengawal sebuah gereja.

Video yang diambil daripada kamera litar tertutup (CCTV) itu memaparkan dua buah motosikal dinaiki tiga orang lelaki memasuki halaman gereja dan berpatah balik keluar.


Dalam kejadian, motosikal pertama yang dibonceng seorang lagi lelaki bertindak merampas beg silang mangsa sehingga mangsa terjatuh dan diikuti oleh motosikal kedua yang memperlahankan kenderaannya dan meragut telefon bimbit yang dipegang mangsa.

Ketika itu, seorang pejalan kaki wanita tampil membantu mangsa yang kelihatan lemah akibat hentakan kerana terjatuh.

Dalam pada itu, pengawal keselamatan yang menjaga kawasan itu dikatakan enggan berbuat apa-apa kerana tidak mahu terlibat dengan kejadian tersebut.

Menurut laporan Berita Harian Online, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainol Samah sedang berusaha mengesan suspek.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu samun hingga mendatangkan kecederaan.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...