Sabtu, 18 Jun 2016

Tahniah Kepandaian Yang Tidak Boleh Diikut !!!!

Leher remaja berlubang terkena mercun buatan sendiri 

DUNGUN, 17 Jun: “Saya sangat terkejut melihat keadaan mangsa yang cedera teruk dan lehernya juga turut berlubang terkena mercun,” luah Noriah Awang mengenai kejadian yang menimpa anak saudaranya akibat bermain mercun di Kampung Tok Kah di sini, Khamis malam.

Noriah, 41, berkata Mohd Haiqal Firdaus Mohd Abdullah, 14, dipercayai bermain mercun buatan sendiri bersendirian berhampiran rumah neneknya kira-kira 9 malam sebelum mercun yang dipasangnya meletup.
“Saya hanya menerima berita yang menimpanya 10 minit kemudian selepas adik menghubungi saya, memaklumkan insiden yang menimpa anak sulung enam beradik itu.

“Kami bergegas membawanya ke Hospital Dungun untuk menerima rawatan,”
katanya ketika ditemui Bernama, awal pagi tadi.
Sebelum kejadian itu katanya Mohd Haiqal keluar dari rumahnya kira-kira pukul 5 petang untuk berbuka puasa bersama anggota keluarganya yang lain di rumah nenek mereka.
Noriah berkata sebelum itu, adik beradiknya yang lain ada terdengar bunyi letupan.
“Tidak lama selepas itu mangsa pulang ke rumah dengan keadaan berlumuran darah dan beritahu dia sakit,” katanya.
Mangsa yang sebelum itu dihantar ke Hospital Dungun bagaimanapun dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.
“Mohd Haiqal kini dilaporkan dalam keadaan stabil dan telah menjalani pembedahan bagi merawat lehernya yang mengalami kecederaan serius,” kata Noriah.
Sementara itu Ketua Polis Terengganu Datuk Rosli Ab Rahman ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.
Katanya pihak polis akan menjalankan siasatan bagi mengetahui punca sebenar kejadian berkenaan.
Katanya setakat ini keluarga mangsa masih belum membuat laporan polis.— Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...