Selasa, 15 Disember 2015

NAK KATA BODOH PANDAI, NAK KATA TAK TAHU TAPI DAH TAHU !!!!

MARANG - Masih ramai kurang peka dengan keadaan cuaca serta gagal mematuhi amaran diberikan pihak berkuasa dan sikap sedemikian merupakan antara punca utama berlaku kejadian lemas di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Suhaimi Ali berkata, pihak berkuasa telah mengambil pelbagai inisiatif untuk mencegah kejadian tidak diingini di pantai, termasuk meletakkan papan tanda amaran.

Menurutnya, kawasan pantai di daerah ini memang berbahaya pada musim tengkujuh kerana keadaan ombak besar sepanjang musim.


"Sekarang ini musim tengkujuh. Jadi orang ramai perlu berwaspada sebelum bermandi-manda di kawasan-kawasan berisiko. Orang tempatan mungkin sudah sedia maklum perkara ini.

"Kita amat berharap pengunjung yang datang ke daerah ini tidak melakukan sebarang aktiviti air khususnya di pantai ketika beriadah bersama keluarga. Patuhi papan tanda amaran serta peringatan di kawasan pantai berisiko," katanya.

Beliau juga menasihatkan ibu bapa sentiasa memantau pergerakan anak-anak mereka di sepanjang musim cuti sekolah dan memastikan mereka tidak melakukan sebarang aktiviti di pantai atau sungai.

Semalam akhbar ini melaporkan dua beranak dari Jalan Gong Beris, Pulau Kerengga, mati lemas ketika bersarapan, mencari remis dan mandi-manda di Pantai Pulau Kerengga, di sini, kelmarin.

Mangsa, Mariam Jusoh, 41, dan anak bongsunya, Mohamad Arshad Mohd Bazi, 9, dikatakan ke kawasan pantai terpencil bersama suaminya, Mohd Bazi Ali, 48 serta dua lagi anak mereka, Mohamad Arif Rahimi, 16 dan Mohamad Azfarudin, 13.

Kejadian dipercayai berlaku pada kira-kira jam 10 pagi dan mayat kedua-duanya ditemui oleh pasukan penyelamat terdiri daripada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM)


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...