Sabtu, 10 Oktober 2015

Sekolah satu aliran: Cenderahati Najib buat rakyat

BANGI - Cadangan untuk mewujudkan sekolah satu aliran boleh dijadikan sebagai satu simbolik kepada gagasan 1Malaysia yang perlu ditinggalkan Datuk Seri Najib Tun Razak kepada rakyat di negara ini.

Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff berkata cadangan itu boleh dikenang sepanjang zaman.

"Ia sebagai satu momento besar yang boleh seorang Perdana Menteri tinggalkan...kalau kita tengok Tun Mahathir, dia tinggalkan KLCC, Putrajaya, KLIA, Wawasan 2020 yang orang bercakap sampai ke hari ini.


"Tetapi kalau Perdana Menteri sekarang ini, apa dia nak tinggal? 1Malaysia tetapi apa kesannya? Tiada. Kalau hadiahnya itu sekolah satu aliran, saya yakin orang akan kenang sampai bila-bila," katanya kepada Sinar Online selepas Bicara Persada ke-23 bertajuk Sekolah Satu Aliran: Keperluan dan Kemungkinan di bangunan Canselori UKM, di sini.

Beliau mengulas kebimbangan pelbagai pihak terhadap pelaksanaan sekolah satu aliran yang didakwa boleh mengancam sekolah vernakular sedia ada, sekaligus menggugat perpaduan nasional.

Beliau juga berkata, Najib memerlukan keazaman politik yang tinggi jika mahu melaksanakan sistem sekolah satu sesi itu.

"Tiada masalah, dia (Najib) memerlukan keazaman politik dan orang politik dari mana pun parti politik.

"Ini adalah soal negara, soal generasi masa depan, kena berjiwa besar untuk ditinggalkan kepada rakyat kita, baru ada rekod," jelasnya.

Mengulas lanjut, Mohammad Agus berkata lagi, semua pemimpin politik perlu berhati terbuka untuk melaksanakannya demi perpaduan nasional yang kian rapuh pada hari ini.

"Kalau kita asyik nak bergaduh soal DAP tak buat kerana hilang identiti dan jati diri bangsa, itu salah.

"Ini kerana sekolah satu aliran, kita tetap membenarkan semua bahasa digunakan di sekolah...biar budak Melayu boleh belajar bahasa Mandarin dan bahasa Tamil, inilah membentuk satu proses bersama.

"Saya rasa itu satu pengorbanan yang semua orang perlu buat, kita kena setuju dengan cadangan ini," ujarnya.

Ditanya tentang kebarangkalian cadangan itu dilaksanakan sebelum PRU14, beliau berkata ia boleh dilaksanakan seawal tiga bulan sahaja kerana kementerian pendidikan mempunyai peruntukan yang besar.

"Dua tahun lagi sebelum PRU14, lama itu, dalam masa tiga bulan boleh buat, cuma isunya masalah kena buat dari segi penyelarasan dari segi prasarana sekolah.

"Duit kita ada untuk buat pendidikan itu, daripada kita duduk tabur duit dan fikir benda-benda lain, nak buat satu benda baru, lebih baik buat ini dulu," tambahnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan supaya semua pihak tidak berlengah lagi untuk merealisasikan cadangan tersebut.

"Jangan buang masa, Malaysia tak boleh buang masa, rakyat tak boleh buang masa, pemimpin politik dari pelbagai parti tak boleh buang masa, kerajaan kena tekan saja perkara ini," katanya lagi.

Sumber: KLIK DISINI
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...