Jumaat, 4 Oktober 2013

HISHAMUDDIN KECUNDANG ???

Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata masih terlalu awal untuk beliau meletakkan keyakinan dapat merebut satu daripada tiga kerusi naib presiden Umno dalam pemilihan parti kali ini.

Beliau berkata pertimbangan dan keputusan untuk menentukan calon paling layak bagi mengisi tiga kerusi naib presiden Umno itu terletak di tangan 146,500 perwakilan pada pemilihan parti 19 Okt ini.

"Macam mana nak kata kita yakin... 150,000 perwakilan. Saya rasa terlalu awal kot. Apa yang ada dalam hati perwakilan kita wallahualam, Tuhan saja yang tahu. Yang paling penting saya yakin bahawa saya telah buat yang terbaik.

"Tanggungjawab saya untuk menunaikan amanah dan perkara yang terpaksa saya dan naib-naib presiden yang lain pikul bukan sahaja dalam Umno malah dalam kementerian yang kita pimpin, pada masa dan ketika cabaran itu berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Pusat Sehenti Veteran 1Malaysia (1MVAP) di Pangkalan Udara Butterworth, di sini Khamis.

Semalam, bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam percaya beliau mempunyai peluang agak cerah untuk merebut satu daripada tiga kerusi naib presiden Umno dalam pemilihan kali ini.

Mohd Ali menyifatkan peluangnya masih agak cerah walaupun ada desas-desus kononnya terdapat usaha untuk mengekalkan tiga penyandang sedia ada iaitu Hishammuddin, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Selain Mohd Ali, pencabar lain bagi jawatan itu ialah Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir dan Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Samad.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan dan pemangku Menteri Pengangkutan berkata beliau akan turun padang menemui perwakilan bagi menjelaskan beberapa isu yang dibangkitkan pada musim pemilihan kali ini.


"Menjelang pemilihan, banyak isu yang sengaja dibangkitkan pihak tertentu yang memerlukan saya turun padang untuk memberi penjelasan. Kalau itu (isu berbangkit) digunakan dan dieksploitasikan terhadap kepimpinan mana-mana calon, saya rasa tidak adil kerana para perwakilan tak dapat fakta sebenar," katanya.

Ditanya mengenai maklum balas daripada anggota akar umbi ketika beliau turun padang, Hishammuddin berkata sambutan dan semangat mereka luar biasa.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...