Sabtu, 12 Oktober 2013

48 calon Umno Terengganu menang tanpa bertanding



KUALA TERENGGANU - Seramai 48 calon pemilihan jawatankuasa peringkat sayap Umno Bahagian negeri Terengganu menang tanpa bertanding pada pemilihan hari ini.

Jawatankuasa Pemilihan Umno Terengganu Datuk Muda Mamat berkata keputusan itu melibatkan pemilihan bagi 138 jawatan utama dalam tiga sayap di lapan Umno Bahagian seluruh Terengganu.
    
Beliau berkata mengikut pecahan, pemilihan Wanita Umno bahagian di negeri itu menyaksikan tiga calon Ketua Wanita Bahagian iaitu Marang, Hulu Terengganu dan Besut menang tanpa bertanding, Naib Ketua Wanita (tiga calon) iaitu dari Hulu Terengganu, Setiu dan Kemaman.


Pemilihan peringkat Pemuda bahagian pula menyaksikan dua orang menang tanpa bertanding iaitu Ketua Pemuda bahagian Setiu Mohd Iskandar Jaafar dan Ketua Pemuda Besut Azizul Jasmi Mohamad serta Naib Ketua Pemuda bahagian Kemaman Mohd Fauzi Mat Adam.
    
Bagi pemilihan Puteri Umno pula katanya, tiga calon Ketua Puteri bahagian Kuala Nerus, Marang dan Hulu Terengganu menang tanpa bertanding manakala dua calon menang tanpa bertanding bagi jawatan Naib Ketua Puteri di Hulu Terengganu dan Kuala Nerus.


Bagi jawatan Pengerusi Tetap Wanita pula, hanya satu bahagian menyaksikan pertandingan iaitu di Besut, manakala bagi Pengerusi Tetap Pemuda empat bahagian menang tanpa bertanding iaitu di Setiu, Kuala Nerus, Dungun dan Kemaman.

Pengerusi Tetap Puteri pula menyaksikan hanya satu pertandingan iaitu di Besut. Bagi jawatan Timbalan Pengerusi Tetap Wanita, semua bahagian menang tanpa bertanding.

Jawatan Timbalan Pengerusi Tetap Pemuda pula menyaksikan hanya dua bahagian menang tanpa bertanding iaitu Besut dan Kemaman manakala Timbalan Pengerusi Tetap Puteri pula menyaksikan hanya dua bahagian yang bertanding iaitu Besut dan Dungun.
    
Dalam perkembangan sama, Muda berkata beliau berpuas hati dengan proses pemilihan jawatankuasa peringkat sayap yang berlangsung apabila 99 peratus keluar mengundi di lapan bahagian dengan pelaksanaan sistem 'Electoral College' dalam pemilihan parti hari ini.

"Walaupun pada mulanya ada sedikit kekeliruan mengenai kertas undi pusat dengan bahagian, ia bukan masalah besar dan segera diatasi. Bahagian Kuala Terengganu paling cepat tamat pemilihan iaitu pukul 12 tengah hari dan ditutup pada 1 tengah hari," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Seramai 13,756 anggota perwakilan terdiri daripada anggota Wanita (5,098), Pemuda (4,927) dan Puteri (3,731) Terengganu membuat penentuan pemimpin pilihan masing-masing hari ini dan minggu depan.
    
Sementara itu, Muda menganggarkan semua keputusan rasmi pemilihan sayap seluruh Terengganu dijangka diperoleh sekitar 9 malam. - Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...