Khamis, 14 September 2017

TIGA PENGURUS KILANG PAPAN, PEMANDU DIREMAN

KUALA TERENGGANU - Tiga pengurus kilang papan dan seorang pemandu direman selama lima hari sehingga 16 September ini, bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah kepada penguat kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu (JPNT) pada Mei hingga Ogos lalu.

Keempat-empat suspek itu ditahan dalam Ops Timba dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kelmarin selepas dipercayai terbabit dalam aktiviti pembalakan haram di sekitar negeri ini.

Perintah reman terhadap keempat-empat suspek itu dikeluarkan semalam oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret, Noradila Ab Latiff bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dijalankan.


Sebelum itu, kesemua suspek tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu kira-kira jam 9.30 pagi semalam, sambil diiringi pegawai SPRM.


Kelmarin, SPRM telah menahan tujuh individu di Pahang dan Terengganu dalam Ops Timba, kerana disyaki terbabit dengan kes pencemaran alam sekitar termasuk pembalakan haram.

Suspek pertama yang berusia 62 tahun merupakan seorang pengurus syarikat, dipercayai telah menawar dan memberikan wang rasuah RM1,000 kepada salah seorang pengawas JPNT, sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan atas kesalahan memiliki hasil hutan yang tidak dibayar cukai pada 23 Mei lalu.

Suspek kedua yang juga pengurus syarikat berusia 40 tahun, dipercayai telah menawar dam memberikan wang rasuah berjumlah RM500 pada 6 Julai lalu kepada seorang pengawas JPNT, sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan atas kesalahan gagal mengemukakan pas pemindahan kayu serta memiliki kayu-kayu bulat pelbagai spesies yang disyaki tidak dibayar cukai.

Manakala suspek ketiga yang berusia 35 tahun dan bekerja sebagai pengurus syarikat kilang papan, dipercayai telah menawar dan memberikan wang rasuah berjumlah RM500 kepada seorang pengawas hutan JPT pada 28 Ogos lalu, sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan atas kesalahan memiliki kayu pelbagai spesies yang disyaki tidak dibayar cukai.

Seorang pemandu yang berusia 29 tahun yang juga suspek keempat, dipercayai menawar dan memberikan wang rasuah berjumlah RM500 kepada salah seorang pengawas hutan JPT pada 6 Julai lalu, sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan atas kesalahan kerana gagal mengemukakan pas pemindahan kayu serta memiliki kayu bulat disyaki tidak dibayar cukai.


Sumber: KLIK DISINI
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...