Ahad, 5 Mei 2013

Analisis PRU-13: Akan berlaku kejutan di Parlimen Marang?


PARLIMEN Marang pastinya merupakan salah satu kawasan yang menjadi sorotan umum esok kerana di sini kerusi dan masa depan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Mampukah gandingan barisan calon transformasi yang diketengahkan untuk bertanding di kerusi Parlimen dan empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Rhu Rendang, Pengkalan Berangan, Bukit Payung dan Alor Limbat melenyapkan pengaruhnya dan mungkin kerjaya politiknya?

Berdasarkan perkembangan semasa, ada kalangan pemerhati politik menjangkakan tidak mustahil calon-calon BN diketuai Datuk Yahya Khatib Mohamad (Parlimen Marang), Nik Dir Nik Wan Ku (Rhu Rendang), A. Latiff Awang (Pengkalan Berangan), Zaidi Muda (Bukit Payung) dan Alias Abdullah (Alor Limbat) mampu membuat kejutan besar.

Malah calon-calon ini dikatakan bukan sahaja mampu merampas kerusi Parlimen Marang, DUN Rhu Rendang dan Bukit Payung dari tangan Pas, tetapi juga mengekalkan penguasaan BN di Pengkalan Berangan dan Alor Limbat.

Kalau perkara ini menjadi realiti, bermakna BN akan mencapai kemenangan besar dengan skor 5-0 di Marang. Jumlah pengundi terkini di Marang ialah 90,795 orang melibatkan 88,626 pengundi Melayu (97.61 peratus), 1,958 pengundi Cina (2.16 peratus), 77 India (0.08 peratus) dan 134 lain-lain (0.15 peratus).

Strategi lima dalam satu yang diguna pakai BN Marang untuk menggempur kawasan Parlimen Marang membawa kesan agak positif, dan kelihatan penyokong Pas kian bersikap terbuka terhadap mereka.

Tidak sebagaimana lazimnya, calon-calon BN bukan sahaja diterima baik oleh rakyat, tetapi turut mendapat sokongan padu jentera parti termasuk bekas-bekas calon veteran yang pernah bertanding apabila soal siapa calon tidak lagi dipertikaikan.

Isu-isu semasa seperti penggunaan kalimah Allah oleh golongan bukan Islam,
isu murtad dan video seks seorang pemimpin pembangkang yang pernah menimbulkan kontroversi turut membantu BN meraih sokongan daripada sebahagian penyokong Pas.

Sebahagian penyokong Pas juga dikatakan tidak senang apabila pucuk pimpinan parti itu bergabung dengan DAP dan PKR sehingga dasar perjuangan parti turut jauh menyimpang.

Ekoran isu itu juga menyebabkan terdapat ahli-ahli dan penyokong Pas secara terbuka mengisytiharkan diri untuk keluar daripada parti dan menyertai UMNO seperti yang berlaku di Kampung Bukit Cempedak, Jerong, Kampung Durian Guling, Pengkalan Berangan dan Rhu Rendang.

Jarang sekali kedengaran kisah seumpama ini berlaku di kawasan penyokong tegar Pas dalam Parlimen Marang dalam beberapa siri pilihan raya sebelum ini.

Kalau dilihat kepada faktor kekuatan Pas sendiri, bekas Menteri Besar, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad suatu ketika dulu pernah memberitahu bahawa Pas sebenarnya tidak kuat di Marang, tetapi kekalahan yang berlaku hanya disebabkan berlakunya masalah dalaman di mana ada penyokong BN memberi undi kepada Pas.

Pandangan Wan Mokhtar ada kebenarannya apabila Datuk Abdul Rahman Bakar muncul sebagai giant killer setelah menumbangkan Abdul Hadi sebanyak dua kali iaitu pada 1986 dengan majoriti 639 undi dan 2004 (163 undi).

Kini tugas itu diserahkan pula kepada Yahya untuk meneruskan perjuangan Abdul Rahman, menjadikan pertandingan pada kali ini dilihat sebagai sengit.

Pada PRU-12, Abdul Hadi kembali mencipta kemenangan di Parlimen Marang setelah menewaskan calon baharu BN, Datuk Ahmad Ramzi Mohamad Zubir dengan majoriti 2,747 undi.

Bagi kerusi DUN Rhu Rendang, ia dianggap sebagai lubuk kuat Abdul Hadi setelah beliau menang dengan majoriti 531 pada tahun 1986, 1990 (853 undi), 1995 (1,394), 1999 (3,843), 2004 (1,435) dan 2008 (2,686).

Bagaimanapun, dengan kehadiran tokoh masyarakat, Nik Dir Nik Wan Ku sebagai calon baharu BN, kedudukan Abdul Hadi dikatakan agak goyah, ada penyokong setianya pula mulai condong kepada BN.

Perkara ini berlaku setelah Nik Dir sebagai anak tempatan memiliki pengaruh yang cukup kuat, 90 peratus pengundi di Rhu Rendang mengenalinya termasuk golongan atas pagar, orang muda dan dalam kalangan orang Pas sendiri, meletakkan kedudukan terkini tidak mustahil BN mampu mencapai kemenangan di kubu kuat Pas ini.

Begitu juga dengan kerusi Bukit Payung yang sebelum ini pernah dimenangi BN, tetapi tewas pada PRU-12 dengan majoriti 115 undi.

Kali ini BN menurunkan calon sama, Zaidi Muda yang merupakan seorang pemimpin belia yang sentiasa bekerja keras mendekati para pengundi di DUN Bukit Payung bagi memastikan kerusi tersebut berjaya dirampas daripada Pas.

Di kerusi DUN Pengkalan Berangan dan Alor Limbat pula, BN dijangka tidak menghadapi sebarang masalah untuk mempertahankannya memandangkan kedua-dua calonnya, A. Latiff Awang (Pengkalan Berangan) dan Alias Abdullah (Alor Limbat) dilihat begitu dekat dan amat mesra dengan rakyat.

Dalam PRU-12, BN yang ketika itu diwakili Datuk Yahya Khatib Mohamad menang di Pengkalan Berangan dengan majoriti 930 undi, manakala di Alor Limbat, Alias menang dengan majoriti 799 undi. - UTUSAN ONLINE

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...