Isnin, 22 Ogos 2011

Penduduk Makkah teruskan 'misi iftar'

Image Detail

MAKKAH: Setiap tahun, ramai penduduk Makkah menyertai 'misi' menyediakan juadah berbuka puasa bagi membantu jemaah berbuka di kawasan Masjidil Haram.


Penduduk tempatan mengekalkan tradisi turun-temurun daripada ibu bapa dan nenek moyang mereka.

Seorang penduduk Makkah, Encik Haydar Amoun, 56 tahun, berkata setiap Ramadan beliau mengumpulkan anak dan cucu lelakinya menyediakan juadah iftar bagi orang miskin dan jemaah.


Akhbar Arab News melaporkan mereka mengambil masa beberapa jam sebelum waktu berbuka mengagihkan juadah di kejiranan penduduk miskin.

Juadah berbuka yang diagihkan termasuk oren, pisang, biskut, tamar dan air.

'Kami mempunyai bajet untuk ini yang mula dikumpulkan beberapa bulan sebelum Ramadan. Kami tidak mengharapkan apa-apa selain balasan Allah.

'Kami menyasarkan kawasan penduduk miskin dan mengagihkan makanan di kalangan penduduk miskin dan memerlukan. Selebihnya kami agihkan kepada jemaah yang ke Masjidil Haram,' katanya.

Penduduk Makkah, Encik Hosni Labban, berkata beliau mengagihkan air sejuk kepada jemaah setiap tahun sebagai tambahan kepada susu dan tamar.

Juadah yang disediakan Encik Labban agak terhad oleh itu beliau hanya menyediakan 50 beg yang mengandungi air sejuk dan susu untuk tiga hari.

'Saya menyasarkan pengguna jalan raya yang tidak sempat pulang ke rumah untuk berbuka puasa.

'Saya sering memberitahu mereka supaya memandu dengan perlahan ketika mengagihkan beg makanan itu,' katanya.

Encik Labban mewarisi tradisi itu daripada bapanya yang meninggal dunia sembilan tahun lalu.

Beliau berkata bapanya meminta meneruskan amalan itu sebelum beliau meninggal dunia.

Encik Labban turut mengajak anaknya mengikuti jejaknya.

Seorang lagi penduduk, Encik Sharaf Abdul Lateef, 45 tahun, berkata menyediakan juadah berbuka untuk pengunjung dan jemaah umrah adalah kerja yang mulia bagi umat Islam.

Beliau turut mewarisi tradisi itu daripada bapanya dan menyambungkan kepada anak lelaki berusia enam tahun.

'Setiap hari saya membawa tamar yang banyak dan air zamzam sejuk menuju ke Masjidil Haram. Saya dan anak lelaki mengagihkan tamar dan air kepada jemaah di kawasan tawaf sebelum waktu berbuka. Saya bangga anak lelaki saya seronok melakukan perkara ini. Saya pastikan makanan yang dibawa diagihkan sebelum saya berbuka,' katanya. -- Agensi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...