Sabtu, 14 Oktober 2017

JANTUNG MADEY SEMAKIN TERSENTAK LAPURAN SIASATAN FOREX

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V hari ini berkenan menerima laporan siasatan Suruhanjaya Siasatan mengenai Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing Bank Negara Malaysia (BNM) pada 1990-an.

Laporan setebal 400 muka surat itu diserahkan kepada Seri Paduka oleh Pengerusi Suruhanjaya itu Tan Sri Mohd Sidek Hassan di Istana Negara di sini, lewat petang ini.

"Suruhanjaya telah menyembah maklum kepada Seri Paduka Baginda akan laporan suruhanjaya yang telah disediakan dalam masa tiga bulan.

"Seri Paduka akan membawa laporan itu kepada kerajaan dan saya telah menjelaskan dalam sesi bersama Seri Paduka tadi tentang hasil daripada Suruhanjaya tersebut. Terpulang kepada kerajaan untuk membuat tindakan selanjutnya," kata Mohd Sidek ketika ditemui pemberita di Istana Negara.

Terdahulu, Mohd Sidek yang juga Pengerusi Petronas dan anggota-anggota suruhanjaya itu menghadap Sultan Muhammad V selama lebih sejam.

Mereka ialah Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Kamaludin Md Said, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Seri Tajuddin Atan, pengerusi bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) Tan Sri Saw Choo Boon dan anggota Institut Akauntan Malaysia K. Puspanathan.

Setiausaha Bahagian Pelaburan Kementerian Kewangan Datuk Dr Yusof Ismail dilantik sebagai setiausaha suruhanjaya.

Mohd Sidek berkata laporan berkenaan menyediakan lima syor bagi lima bidang rujukan suruhanjaya itu.

"Terserahlah kepada kerajaan untuk menyiarkan laporan itu kepada umum atau tidak," katanya semasa ditanya tentang perkara itu.

Pada 15 Julai lepas, Yang di-Pertuan Agong memperkenan penubuhan suruhanjaya itu untuk menyiasat kerugian dialami BNM dalam urus niaga mata wang asing pada 1990-an mengikut Akta Suruhanjaya Siasatan 1950.

Antara bidang rujukan suruhanjaya berkenaan ialah:

*Untuk menentukan sama ada urus niaga mata wang asing Bank Negara, yang mengalami kerugian, telah melanggar peruntukan Ordinan Bank Pusat 1958 atau mana-mana undang-undang lain yang berkenaan.

*Untuk menentukan sama ada terdapat unsur sengaja menyembunyikan fakta dan maklumat serta penyata mengelirukan yang dikemukakan kepada Kabinet, Parlimen dan orang ramai berhubung kerugian dialami Bank Negara disebabkan urus niaga mata wang asing itu.

*Untuk mengesyorkan tindakan sewajarnya yang perlu diambil terhadap pihak yang terlibat secara langsung dan/atau tidak langsung sekiranya mereka didapati menyebabkan Bank Negara mengalami kerugian itu dan menyembunyikan fakta serta maklumat mengenai kerugian yang dimaksudkan.

*Untuk mengesyorkan tindakan yang patut diambil bagi memastikan perkara serupa tidak berulang.

Suruhanjaya itu bersidang selama lapan hari bermula dari 21 Ogos dan berakhir pada 19 Sept selepas memanggil 25 saksi.

Antara saksi berkenaan ialah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin, bekas Gabenor BNM Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan bekas Penasihat BNM Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.  - BERNAMA



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...