Jumaat, 9 Disember 2016

PAS PERLU PENDIRIAN TEGAS DAN TIDAK PERLU PUTAR BELIT

Sikap pemimpin Amanah yang 'membawa lari' kerusi PAS menjadi salah satu punca parti itu tawar hati untuk menjalin kerjasama dan membincangkan mengenai pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Timbalan Presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan, bagaimana mereka boleh menggunakan nama parti sebagai Amanah sedangkan parti itu langsung tidak beretika apabila sanggup menarik ahli PAS untuk menyertai blok pembangkang yang lain. 

"Amanah keluar dengan melarikan kerusi sebab itu kami tidak panggil Parti Amanah, kalau Amanah dia tinggalkan kerusi. Ini bawa lari dengan kerusi. Amanah apa ini. Bagi kami bila tarik ahli PAS, ini tidak ada nilai tambah. Yang penting adalah apakah nilai tambah bila kita wujudkan parti.


"Amanah tarik ahli PAS, tarik ahli pembangkang kepada pembangkang tidak ada nilai tambah dan akan timbulkan polemik. Bagi kami tidak sedia kerjasama dengan DAP dan Amanah, tidak (sama sekali)," katanya dalam sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat di pejabat Institut Integriti Malaysia hari ini.

PAS sebelum ini beberapa kali mempertahankan bahawa parti itu tidak akan memberi muka dengan menyerahkan kerusi tradisi mereka kepada Amanah.

Namun Amanah menyifatkan kerusi yang sebelum ini milik PAS menjadi hak kepada mereka selepas parti itu tidak lagi berada dalam Pakatan Harapan (PH) selepas terkuburnya Pakatan Rakyat (PR).

Sehingga kini pembangkang masih gagal mencapai kata sepakat dalam soal pembahagian kerusi untuk pilihan raya akan datang.

Terdahulu Tuan Ibrahim hadir bersama Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) hadir menyerahkan memorandum berkaitan syor pembiayaan politik oleh Gagasan Sejahtera kepada Pengerusi Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Paul Low Seng Kuan.

Malah Tuan Ibrahim tidak menolak tindakan Amanah yang mahu menjalin kerjasama dengan PAS adalah semata-mata mahu menagih kerusi mereka.

"Amanah tidak ada kerusi macam mana nak kerjasama dengan parti yang tidak ada kerusi. Saya ingat Amanah ini nak kerjasama sebab mahu kerusi daripada PAS. Kita sudah bertahun mempertahankan kerusi milik kita," jelas Tuan Ibrahim.

Amanah terdahulu menyatakan kesediaan untuk membuka pintu kepada mana-mana pihak termasuk Pas sekiranya mahu bekerjasama menumbangkan BN.

Timbalan Presidennya, Salahudin Ayub mengumumkan kesediaan itu ketika ditemui pemberita seusai penyerahan memorandum bantahan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) ke Istana Negara, Mac lalu.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...